Monday 27 August 2012

HUKUM BERAMAL DENGAN HADIS DHA'IF

Assalamualaikum wtb. Alhmadulillah, kita bertemu lagi.
Di kesempatan ini, saya kira tidak terlalu lewat untuk saya mengucapkan Salam Aidilfitri, Maaf zahir batin kepada semua umat Islam, Ibu bapa saya, kaum kerabat saya, semua orang yang mengenali diri ini dan sudah semestinya pembaca blog saya.


Seperti yang saya janjikan sebelum ini, pada kali ini kita kan bicarakan tentang apakah hukum beramal dengan Hadis Dha'if.


Hadis yang dha’if bukanlah Hadis yang maudu’ ( hadis dibuat buat ), tetapi hanya Hadis yang lemah sanadnya, dan bukan Hadis yang tidak benar, bukan Hadis bohong, kerana asalnya dari Nabi juga.
Hadis yang dikatakan dha’if atau lemah ini ialah Hadis yang darjatnya kurang sedikit dari Hadits Shahih atau Hadits Hasan.


Hal ini dapat dicontohkan umpamanya kepada sebuah Hadis dari Nabi, kemudian turun kepada Mansur, turun lagi kepada Zaid, turun lagi kepada Khalid dan akhirnya turun kepada Ibnu Majah atau Abu Daud. Ibnu Majah atau Abu Daud membukukan Hadis itu dalam kitabnya. Kalau orang yang bertiga tersebut, yaitu Mansur, Zaid dan Khalid terdiri dari orang baik-baik, dengan erti baik perangainya, soleh orangnya, tidak pelupa hafalannya, maka hadisnya itu dinamai hadis sahih.


Tetapi kalau ketiganya atau salah seorang dari padanya terkenal dengan akhlaknya yang kurang baik, umpamanya pernah makan di jalanan, pernah buang air kecil berdiri, pernah suka lupa akan hafalannya, maka hadisnya dinamai Hadis dha’if (lemah).


Pada hakikatnya Hadis yang semacam ini adalah dari Nabi juga, tetapi “sanadnya” kurang baik. Bukan Hadisnya yang kurang baik.


Ada lagi yang menyebabkan Hadis itu menjadi dha’if, ialah hilang salah seorang daripada rawinya. Umpamanya seorang Thabi’in yang tidak berjumpa dengan Nabi mengatakan : Berkata Rasulullah, pada hal ia tidak berjumpa dengan Nabi. Hadits ini dinamai Hadits Mursal, yaitu Hadis yang dilompatkan ke atas tanpa melalui jalan yang wajar. Hadits ini ialah dha’if juga. Dan banyak lagi yang menyebabkan dan membikin sesuatu Hadits menjadi dha’if atau lemah.

Dipetik dari buku 40 Masalah Agama Jilid ke 3 oleh K.H. SIRADJUDDIN ABBAS

Para ulama berkhilaf pendapat dalam penggunaan hadis dhaif. Ringkasnya ada tiga golongan:


GOLONGAN PERTAMA: Hadis dhaif TIDAK BOLEH DIGUNAKAN walaupun untuk tarqib (galakan),tarhib (menakut-nakutkan),fadhail amal (kelebihan beramal) ataupun untuk langkah berjaga-jaga. Ini merupakan pendapat IMAM BUKHARI dan MUSLIM yang disokong oleh Abu Bakar al-Arabi (Mazhab Maliki), Abu Syamah al-Maqdisi (Syafie), Ibnu Hazmin (Zahiri) dan lain-lain.

GOLONGAN KEDUA: Harus (boleh) menggunakan hadis dhaif jika tidak ada sandaran-sandaran lain tentang sesuatu perkara sama ada daripada al-Quran, hadis, qias, ijma, istihsan dan lain-lain. Ini adalah pendapat IMAM AHMAD, IBNU TAIMIYYAH dan IBNU QAYYIM. Kata Imam Ahmad: " Hadis dahif lebih kami sukai daripada fikiran seseorang."

GOLONGAN KETIGA: Hadis dhaif boleh digunakan sebagai hujah dalam fadhail amal, peringatan, kisah-kisah, galakan dan sebagainya. Namun begitu secara umumnya tidak boleh digunakan dalam soal akidah dan hukum-hakam. Ini adalah pendapat yang muktamad bagi para ulama muhaqqiqin dengan syarat-syarat yang tertentu. Antara tokoh yang berpegang dengan panangan ini ialah IMAM NAWAWI dan AL-HAFIZ IBNU HAJAR.
Jika hendak menggunakan hadis-hadis dhaif, Imam Nawawi mensyaratkan:

1. Yang diguna dalam soal hukum ialah hadis-hadis sahih dan hasan sahaja

2. Boleh digunakan dalam soal hukum untuk 'berjaga-jaga', sebagai usaha untuk menjauhi perkara-perkara syubhat

Al-Hafiz Ibnu Hajar pula mensyaratkan:

1. Hadis itu tidak terlalu dhaif

2. Isi hadis dhaif itu menepati kaedah-kaedah umum dalam agama Islam

3. Ketika beramal dengannya, tidak iktikadkan sebagai HADIS RASULULLAH tetapi sebagai usaha 'berjaga-jaga'.

Dho’if dari sudut bahasa adalah: lawan bagi kuat. Dho’if dari sudut istilah ilmu hadith adalah: hadith yang tidak terhimpun padanya segala sifat-sifat (syarat-syarat) qobul (penerimaan).

Adapun syarat-syarat atau sifat-sifat penerimaan dalam hadith adalah:

Pertama: Bersambung sanadnya dari satu generasi ke satu generasi (perawi)

Kedua: Perawi-perawi tersebut dhobit (menjaga hadith yang diriwayatkan)

Ketiga: Perawi-perawi tersebut adil

Keempat: Tiada syaz dalam hadith

Kelima: Tiada ‘illah (sebab yang mencacatkan status hadith dan perawi). Hilangnya salah satu daripada syarat-syarat tersebut, maka ia termasuk dalam hadith dho’if.


Perbahasan tentang hadis dha’if, maka yang kita maksudkan tentang penggunaan hadis dha’if adalah hadis yang disepakati kedha’ifannya, bukan yang diperselisihkan tentang kedha’ifannya, kerana hadis yang diperselisihkan mengenai kedha’ifannya boleh jadi nilainya sahih di sisi para ulama’ yang mengamalkan dan menggunakannya.


Ulama’ dan ahli ilmu berselisih pendapat tentang penggunaan hadits dha’if (yang disepakati kedha’ifannya) kepada tiga pendapat (rujuk At-Tamazhub m/s 228-229)


Pendapat Pertama: Boleh beramal dengan hadis dha’if dengan syarat-syaratnya yang akan dijelaskan sebentar nanti (insya Allah), yang mana pendapat ini dipegang oleh majoriti ahli hadits, ahli fiqh, ahli usul fiqh dan para ulama’ empat mazhab.

Pendapat Kedua: Tidak boleh beramal dengan hadis dha’if secara mutlak. Ia adalah mazhab sebahagian ahli hadis seperti Ibn Al-‘Arabi Al-Maliki, diriwayatkan juga ianya dipegang oleh Imam Ahmad, begitu juga salah satu pendapat daripada Yahya bin Ma’in dan sebagainya. Ia adalah suatu pendapat yang sedikit keras kerana hadis-hadis dha’if dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh majoriti ulama’ yang membolehkan penggunaan hadith tersebut, bukanlah suatu pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w. kerana perawinya juga dikenali sebagai jujur dan beragama, cuma ada beberapa faktor yang mengurangkan kredibiliti perawi tersebut dari sudut dhobitnya.


Pendapat Ketiga: Boleh beramal dengan hadis dha’if secara mutlak. Ia merupakan pendapat sebahagian ahli ilmu. Ia juga satu pendapat yang agak longgar namun boleh jadi yang dimaksudkan oleh golongan yang berpendapat dengan pendapat ini, hadis dha’if tersebut tidaklah terlalu dha’if. Ia dinukilkan oleh Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqollani dan Imam As-Sakhawi. Imam Al-Laknawi menjelaskan juga dalam kitab Al-Ajwibah Al-Fadhilah m/s 50:-

"Diriwayatkan daripada Imam As-Sakhawi r.a. yang berkata: Kesimpulannya, tentang masalah beramal dengan hadis dha’if, maka ada tiga mazhab: Tidak boleh beramal dengannya secara mutlak, boleh beramal dengannya secara mutlak dan boleh beramal dengan hadis dha’if pada fadho’il amal dengan syarat-syaratnya".


Perbahasan Pertama: Pendapat yang Mengatakan: "Telah Sepakat Ulama’ pada Beramal dengan Hadis Dha’if pada Fadho’il dan Sebagainya" Imam An-Nawawi berkata dalam kitab Al-Majmu’ (3/226):- "Telah kita jelaskan sebelum ini bahawasanya, para ulama’ telah bersepakat tentang keharusan beramal dengan hadis dha’if pada fadho’il amal (kelebihan-kelebihan dalam amalan), bukan dalam bab halal dan haram…"


Catatan: Imam An-Nawawi juga turut meriwayatkan perkataan beliau tentang ittifaq (kesepakatan) ulama’ dalam membolehkan amalkan hadis dha’if dalam fadho’il amal dengan syarat-syaratnya dalam kitab Al-Arba’in pada muqoddimah beliau.


Imam Ar-Ramli berkata dalam fatwanya (4/383):- "Imam An-Nawawi menjelaskan dalam banyak kitabnya bahawasanya ijmak (telah sepakat) ahlul-hadis dalam keharusan beramal dengan hadis dha’if pada bab fadho’il amal dan sebagainya secara khusus..." Al-Khattab dalam kitab Mawahib Al-Jalil (1/17) dan syarh Al-Kharsyi (1/23) berkata: "Saya katakan: Walaupun hadis ini dha’if (hadith kullu amrin zi balin...), maka ulama’ bersepakat boleh menggunakan hadith dha’if dalam fadho’il amal..."

Imam Mulla Ali Al-Qari berkata dalam Al-Khath Al-Aufar sebagaimana juga diriwayatkan oleh Imam Al-Laknawi dalam Al-Ajwibah Al-Fadhilah (m/s 36):- "Hadis dha’if diambil-kira (diguna pakai) dalam bab fadho’il amal di sisi seluruh ulama’ yang mempunyai kesempurnaan keilmuan mereka..." Begitu juga dalam Al-Maudhu’at oleh Imam Mulla Ali Al-Qari dan Al-Ajwibah Al-Fadhilah (m/s 36) ada menyebut:- "Hadis dha’if digunakan dalam bab fadho’il amal berdasarkan kesepakatan ulama’..." Imam Ibn Hajar Al-Haitami berkata dalam Syarah Al-Arba’in m/s 32:- "Para ulama’ telah sepakat boleh menggunakan hadis dha’if dalam bab fadho’il amal kerana ia sebenarnya merupakan hadis yang sahih dari sudut asalnya (matannya), maka perlulah diberikan haknya iaitu beramal dengannya..."

Imam Ibn Hajar Al-Haitami berkata dalam fatwanya (2/54):- "Telah menjadi kaedah bahawasanya hadis dha’if, mursal, munqoti’, mu’addhol dan mauquf boleh diamalkan dalam bab fadho’il amal secara ijma’..." Beliau juga menjelaskan kesepakatan ulama’ dalam keharusan dalam menggunakan hadis dha’if dalam kitab beliau Tathir Al-Jinan m/s 3. Sebahagian Pendapat Ahlul-Hadith Dalam Masalah Ini Imam As-Sakhawi dalam Fath Al-Mughith (1/287) berkata: " Imam Ibn Abdil Barr berkata: Hadith-hadith menceritakan tentang fadho’il tidak perlu syarat-syarat (kesahihan dan kekuatan hadith) sebagaimana hadis-hadis yang digunakan (dalam bab halal dan haram).


"Imam Al-Hakim mendengar Abu Zakaria Al-Ghabri berkata: "Sesuatu khabar itu, jika disebut bukan mengharamkan apa yang halal (daripada nas-nas qat’ie thubut), bukan menghalalkan apa yang haram dan tidak juga berkaitan dalam masalah hukum, tetapi sebaliknya hanya dalam bab targhib wa tarhib, maka ahli hadis akan memejamkan mata daripadanya dan mempermudahkan dalam meriwayatkannya (maknanya, tidak bersusah payah untuk menolak penggunaan hadith dha’if dalam bab galakan dan fadho’il).


"Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dalam Al-Madkhal bahawasanya Imam Ibn Mahdi menjelaskan: "Jika kami meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. tentang halal dan haram, maka kami sangat menitikberatkan masalah sanad (pastikan sanadnya sahih) dan kami sangat mendalami hal perawi. Adapun jika kami meriwayatkan dalam masalah fadho’il, pahala dan dosa, maka kami akan mempermudahkan (tasammuh) dalam masalah sanadnya dan kami bertoleransi dalam hal perawi. "Begitu juga dengan lafaz Imam Ahmad pada riwayat Al-Maimuni: "Adapun hadith-hadith raqa’iq (menceritakan tentang kelebihan, pahala dan dosa), maka berkemungkinan ahli hadis akan bertoleransi dalam kedudukan hadis tersebut, kecualilah dalam bab hukum (halal dan haram)…" –tamat nukilan daripada kitab Fath Al-Mughith oleh Sheikh Abdul Fattah Al-Yafi’ie dalam At-Tamazhub m/s 230-231-


Imam Al-‘Iraqi berkata dalam syarah Alfiyahnya 2/291:- "Adapun hadis tertolak yang tidak sampai tahap maudhu’ (palsu) sanadnya, riwayatkannya tanpa menjelaskan kedha’ifannya, jika ia bukan berkaitan dengan masalah hukum-hakam dan maslaah aqidah, tetapi sekadar dalam masalah targhib, tarhib, galakan, cerita-cerita, fadho’il amal dan sebagainya… Ini pendapat sebahagian imam seperti Ibn Mahdi, Ibn Mubarak, Imam Ahmad dan sebagainya"

Imam As-Suyuti pula berkata dalam Tadrib Al-Rawi (1/298):- "Diriwayatkan daripada Imam Ibn Hanbal, Imam Ibn Mahdi dan Imam Ibn Mubarak berkata: "Jika dalam bab halal dan haram, maka kami akan menitikberatkan masalah kedudukan hadis namun jika kami riwayatkan dalam bab fadho’il dan sebagainya, maka kami akan bertoleransi..." Dalam perenggan yang lain daripada kitab tersebut, Imam As-Suyuti meriwayatkan juga:- "Sebahagian pendapat mengatakan bahawasanya, tidak boleh beramal dengan hadis dha’if secara mutlak. Ia adalah pendapat Imam Abu Bakr Ibn Al-‘Arabi.


"Sebahagian yang lain mengatakan bahawasanya, boleh beramal dengan hadis dha’if secara mutlak. Ia adalah pendapat Imam Abu Daud dan Imam Ahmad. Imam Al-Zarkasyi pun meriwayatkan hal tersebut…" Imam Al-Sakhawi berkata dalam Fath Al-Mughith (1/287) menguatkan pendapat Imam An-Nawawi tentang kesepakatan ulama’ dalam menggunakan hadis dha’if yang tidak terlalu lemah kedudukannya, dalam masalah fadho’il. Sebahagian Perkataan Fuqoha’ dalam Masalah Hadith Dha’if Imam Al-Kamal bin Al-Humam berkata dalam Fath Al-Qadir (1/349):- "Boleh dijadikan hujah jika hadis itu sahih. Kalau tidak, hadis dha’if juga, selagimana tidak sampai tahap mau’dhu’ (palsu), boleh diamalkan dalam bab fadho’il amal". Imam Ibn ‘Abidin membenarkan perkataan Imam Al-Kamal tersebut dalam hasyiyahnya (1/128) dan turut menukilkan perkataan Imam Ibn Hajar Al-Haitami dalam masalah ini. Imam Al-Khadimi berkata dalam kitab Bariqah Mahmudiyyah 1/115:- "Boleh dan sunat beramal dalam bab fadho’il, galakan dan peringatan, dengan hadith dho’if selagi mana tidak sampai tahap hadith maudhu’ (palsu)."

Adapun dakwaan hadis dha'if di sisi Imam Ahmad bin Hanbal adalah hadis hasan, maka itu suatu dakwaan yang tidak berasas. Memang benar, hadis hasan tidak dikenali lafaznya melainkan pada penggunaan Imam At-Tirmizi. Namun, hatta di sisi penggunaan Imam At-Tirmizi juga, hadis hasan itu sendiri gagal difahami oleh sebahagian ulama’. Kita simpulkan di sini. Hadith itu ada dua jenis yang utama. Hadith Maqbul (diterima) dan hadith Mardud (tidak diterima). Hadith Maqbul adalah hadith yang diterima utk dijadikan hujah dalam penggalian hukum dan sebagainya. Syarat hadith itu diterima adalah jika menepati lima syaratnya iaitu:-
1 Bersambung sanadnya dari satu peringkat ke satu peringkat

2 Perawi hadith perlu adil (beragama) dalam setiap peringkat

3 Perawi perlulah dhobit (teliti) dalam menjaga hadith dan menyampaikannya.

4 Hadith itu sejahtera daripada Syaz (keganjilan: berlawanan daripada hadith yang lebih kuat)

5 Tiada Illah (kecacatan) yang boleh mencacatkan sanad atau matan hadith


Jika sesuatu hadis itu memenuhi kelima-lima syarat ini, maka ianya dikira sebagai hadis maqbul (diterima). Hadis maqbul juga disebut sebagai hadis sahih (benar) yang boleh digunakan untuk berhujah dan mengambil hukum. Jika sesuatu hadis itu hilang salah satu atau kesemua lima-lima syarat tersebut, maka ianya disebut sebagai hadis mardud (ditolak). Hadis ini ada pelbagai jenis mengikut kecacatan dalam hadits tersebut.

Antara jenis-jenis hadis mardud (ditolak) adalah hadis dha’if, hadis matruh (tidak dipakai), hadis munkar (diingkari) dan hadis maudhu’ (palsu). Darjat antara kesemuanya adalah berbeza-beza. Klasifikasi inilah yang dipegang oleh para mutaqoddimin (ulama’ terdahulu) dari ahli hadis. Jadi, hatta Imam Ahmad bin Hanbal memahami penggunaan istilah dho’if merujuk kepada hadith yang tidak cukup salah satu syarat daripada lima syarat hadis maqbul tersebut yang menyebabkan ianya termasuk dalam hadis mardud (ditolak untuk dijadikan hujah) (demikian menurut Al-Khallal). Jadi, memang jelas hadis dha’if di sisi ulama’ adalah hadis yang mardud. Masalah kesamaran bukan pada hadis dha’if, tetapi kesamaran timbul pada memahami makna "hadis hasan".

Para ulama’ hadis muta’akhirin (seperti Ibn Sholah, Ibn Hajar, Az-Zahabi, As-Sakhowi dan sebagainya) yang menjelaskan kesamaran dalam memahami lafaz "hasan" bagi penggunaan ulama’ hadis terdahulu. Mereka cuba memahami adakah hadis hasan itu sebahagian daripada hadis maqbul (seperti hadith sahih) atau sebahagian daripada hadis mardud (seperti hadis dha'if) di sisi ulama’ terdahulu. Mereka merujuk kepada penggunaan Imam At-Tirmizi yg terkadang berkata: "hadis ini hasan sahih". Kalau hadith ini sudah sahih, mengapa hasan pula? Adakah sama darjatnya antara hasan dan sahih? Atau sebahagian ulama’ anggap sanadnya hasan sedangkan sebahagian lain anggap sanadnya sahih? Atau hasan dalam ungkapan ini adalah hasan dari sudut makna? Persoalan-persoalan sebeginilah yang cuba ditimbulkan oleh Imam Az-Zahabi dalam kitab Al-Muqizah (m/s 36-38 dgn tahqiq Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah). Para ulama’ hadis mutaakhirin cuba memberi tafsiran tepat tntang hadis hasan, samada ianya sama maqbul (diterima) atau mardud (ditolak). Kalau maqbul, apa yang membezakan hadis sahih dengan hadis hasan kerana syarat utk diketogorikan sebagai hadis maqbul mestilah memenuhi lima syarat tadi. Kalau hadis hasan memenuhi lima syarat diterima hadis tadi, maka tiada yang membezakan antara hadis hasan dan hadis sahih. Kalau hadis hasan adalah hadis yg kurang memenuhi syarat yang lima tadi, maka ianya juga termasuk dalam hadis mardud. Sedangkan, ulama’ muta’akhirin meletakkan hadis hasan antara hadith sahih (hadith maqbul) dengan hadith dha’if (hadith mardud). Akhirnya, Imam As-Sakhowi sendiri menjelaskan, kesukaran utk membezakan antara hadis hasan dengan hadis sahih (fath Al-Mughith 184). Imam Az-Zahabi pn menjelaskan kesamaran sebahagian ulama’ dalam meletakkan status hadis hasan, samada dalam bahagian maqbul atau mardud (Al-Muqizhah 38 ) Imam At-Thibi juga mengakui kesukaran hal itu (Al-Khulashoh 38 )


Maka, penggunaan hadis hasan juga bukanlah suatu penggunaan di sisi ulama’ mutaqoddimin seperti zaman Imam Ahmad bin Hanbal r.a.. jadi, dia sudah tentu memaksudkan hadis dha’if sebagai hadis mardud (ditolak utk dibuat hujah dalam bab hukum), kerana tidak timbul kesamaran dalam makna hadis dha’if. Apa yang menjadi masalah adalah memahami lafaz hadis hasan di sisi ulama’ mutaqoddimin (terdahulu) seperti Imam At-Tirmizi. Sebahagiannya menganggap lafaz hasan di sisi mutaqoddimin adalah jenis hadis maqbul dan sebahagian lain menganggap ianya jenis hadith mardud (tinggi sedikit darjatnya daripada hadis sahih). Pun begitu, hadis hasan diletakkan pada bahagian hadis maqbul di sisi ulama’ hadis mutaakhirin. Ini kerana, menurut mereka, hadis hasan adalah hadis yang memenuhi kelima-lima syarat hadith maqbul cuma ketelitian perawinya kurang berbanding ketelitian perawi berdarjat sahih. Maka, tidak timbul Imam Ahmad memaksudkan hadis dha’if dengan hadis hasan kerana hatta penggunaan hadis hasan sebenarnya adalah di sisi ulama’ mutaakhirin. Sedangkan, ulama’ mutaqoddimin hanya memahami ada dua jenis pembahagian yg utama iaitu antara hadis maqbul yang dikenali sebagai hadis sahih dan hadis mardud yang pelbagai namanya berdasarkan jenis-jenis kekurangan syaratnya. Maka, kesimpulannya, hatta di sisi Imam Ahmad bin Hanbal, hadis dha’if yang sesemangnya hadis dha’if, boleh digunakan dalam fadho’il a’mal, tidak pada berhujah. Malah, sebahagian ulama’ hanabilah mengutamakan hadis dha’if berbanding qiyas. 

Dipetik dari Ibnu Syazmi As-Syafie.

2 comments:

  1. Hotels Near Casino at Horseshoe | Mapyro
    The best hotels 통영 출장샵 in Horseshoe. Choose from 3131 hotels 구미 출장샵 near 아산 출장마사지 Horseshoe 안동 출장샵 Casino 영주 출장안마 in Lawrenceburg, West Virginia.

    ReplyDelete