Monday 27 August 2012

Kesan Negatif Penyebaran Hadith Palsu



Antaranya :

1. Merosakkan Akidah Yang Murni 

Unsur-unsur yang terdapat di dalam Hadith Palsu mencemarkan kemurniaan agama, seperti hal akidah. Contohnya :

“Jika seseorang kamu berbaik sangka dengan batu nescaya ia akan memberi manfaat kepadanya.”

Ibn Qayyim al-Jauziyah berkata : “Hadith ini adalah pemalsuan daripada golongan musyrik yang menyembah berhala.”

2. Menjatuhkan Nilai Kewibawaan Agama

Ini kerana, kandungan dalam Hadith palsu menjadikan Islam sebagai bahan sendaan dan rekaan semata-mata. Ini berlaku apabila rekaan Hadith Palsu dengan wahyu yang sebenar. Mana mungkin rekaan manusia diletakkan sama standing dengan wahyu. Contohnya :

“Sesiapa yang solat dhuha sekian rakaat, maka dia diberi pahala sebanyak 70 para nabi”

Hadith ini jelas telah merendahkan dan menjatuhkan martabat ketinggian para nabi kerana dengan menyamakan pahala sekalian para nabi dengan hanya solat beberapa rakaat sahaja.

Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam bukunya al-Manar al-Munif, ketika mengulas Hadith ini menyebut :

“Seolah-olah pendusta yang keji ini tidak mengetahui bahawa selain nabi, sekalipun bersolat selama umur Nabi Nuh, ia tidak akan diberikan pahala setanding seorang nabi”

Hadith ini menyebabkan manusia akan menyangka pahalanya sudah banyak kerana sudah menyamai pahala para nabi dan sudah tentu akan masuk syurga, maka umat Islam akan meningggalkan amal ibadah yang lain.

3. Menjadikan Nas-Nas Islam Saling Bercanggah

Hadith palsu bukanlah berasal dari Rasulullah, maka seringkali ia bercanggah dengan isi kandungan al-quran dan hadith yang sahih.
Ini secara tidak langsung mencemarkan imej Islam sebagai agama yang sempurna, dengan timbulkan pandangan orientalis barat dengan mengatakan agama lslam yang tidak tetap dalam syariat dengan berlakunya perbezaan dengan ayat quran dan Hadith nabi.

Imam Al-Suyuti dalam bukunya Tadrib al-Rawi menukilkan kata-kata dari Ibnu Jauzi : “Jika engkau melihat sesebuah Hadith menyanggahi logik, menyalahi al-Quran dan bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Islam, maka ketahuilah ia adalah Hadith palsu”

Contohnya :
“Anak Zina tidak akan masuk syurga”

Hadith palsu ini secara terang menyanggahi firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 15 :

15. Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), Maka Sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat Maka Sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan kami tidak akan meng'azab sebelum kami mengutus seorang rasul.

Mana mungkin anak zina dihukum disebabkan perbuatan kedua-dua ibu bapanya? Ini mencemarkan penegasan Al-Quran tentang keadilan dan rahmat Allah yang tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang lain.

4. Menjadikan Hadith Bercanggah Dengan Realiti Dan Akal Fikiran Yang Waras. 

Banyak Hadith Palsu direka dengan dikuasai perasaan dan emosi tanpa berfikir. Tidak juga diteliti akan teks Hadith berkenaan.

Contohnya :

“Sesungguhnya bahtera Nuh sudah tawaf di Kaabah sebanyak tujuh kali dan solat dua rakaat di Makan Ibrahim.”

Hadith adalah jelas tidak masuk akal dan bercanggah dengan sejarah kenabian, kerana NabI Nuh lahir sebelum Nabi Ibrahim. Di maka Kaabah dan makam Nabi Ibrahim ketika itu? Dan jelas masa zaman Nabi Nuh, Kaabah belum wujud.

Imam Al-Suyuti di dalam kitabnya Tadrib al-Rawi menyatakan seluruh para sarjana Hadith membantah akan hadith palsu ini.

5. Punca Percambahan Pemikiran Sesat 
 

Banyak Hadith palsu diwujudkn demi penyokong aliran, pegangan, pemimpin dan mazhab seperti golongan syiah.

Golongan Syiah sangat terkenal dengan penciptaan hadith-hadith palsu dengan kelebihan Ali. Antara Contohnya :

Maksudnya :

“Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku dan tinggal di syurga ‘And yang ditanam oleh Tuhanku, maka hendaklah mengangkat Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah di mengikut para imam selepasku kerana sesungguhnya asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmu, Celakalah dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaat.”

Dalam kitab Silsilah al-Ahadith al-Daifah wa al-Maudhu’ah menyatakan hadith ini palsu lagi dusta. Semua perawinya tidak dikenali kecuali seorang sahaja iaitu Ibn Abi Rawwad. Hadith seperti ini hanya untuk mengembangkan fahaman syiah semata-mata.

6. Menyusahkan dan Memundurkan Umat Islam. 

Nilai-nilai kezuhudan yang melampau, unsure-unsur khurafat dan kepercayaan yang tidak berasas.
Contohnya :

“Dunia itu Haram untuk ahli akhirat. Akhirat itu haram untuk ahli dunia. Dunia dan Akhirat itu haram untuk ahli Allah”

Hadith ini adalah hanyalah rekaan kaum sufi yang melampau. Hadith seperti boleh menyebabkan umat Islam tidak berdaya saing dan meninggalkan urusan dunia yang menjadi jambatan untuk ke akhirat. Mana mungkin hadith ini benar, sedangkan Allah menyebut dalam Quran, Surah al-A’raf, ayat 32 :

Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang Telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat[536]." Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang Mengetahui.

[536] Maksudnya: perhiasan-perhiasan dari Allah dan makanan yang baik itu dapat dinikmati di dunia Ini oleh orang-orang yang beriman dan orang-orang yang tidak beriman, sedang di akhirat nanti adalah semata-mata untuk orang-orang yang beriman saja.

7. Menjatuhkan Imej Tokoh-Tokoh Islam  

Hadith palsu juga ada yang bertujuan untuk menghina aliran atau tokoh lain. Syiah juga banyak menghina para sahabat dan juga menghina tokoh-tokoh lain seperti Imam Asy-Syafie . Hadith-hadith seperti ini direka oleh golongan yang taksub mazhab. Contohnya :  

“Akan datang dikalangan umatku, seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris(nama sebenar imam asy-Syafie). Dia memberi mudharat kepada umatku lebih daripada Iblis. Akan datang pula seorang lelaki dikalangan umatku dipanggil Abu Hanifah. Dia adalah lampu yang menerangi umatku, dia adalah lampu umatku”

Hadith ini direka oleh Makmum bin Ahmad al-Harawi yang hasad dengki dengan perkembangan pengikut as-syafie.

Al-Jahari di dalam kitabnya Kashf al-Khafa’ menyatakan : “Tiada suatu hadith sahih pun mengenai pujian atau celaan terhadap abu hanifah dan as-syafie. Semua yang disebut mengenai hal itu adalah palsu lagi dusta.”

8. Memaling Manusia Daripada Pelbagai Sunnah Yang Sahih 


Kesan paling dengan adanya hadith palsu adalah, umat islam beramal dengan hadith palsu maka secara tidak langsung hadith sahih dan sunnah nabi ditinggalkan. Ini seperti mengajar doa-doa palsu yang kononya datang dari Nabi yang menjanjikan pelbagai kelebihan yang sebenarnya tidak terdapat dalam hadith sahih.


No comments:

Post a Comment